Friday 20 February 2015

Ambil yang mudah tinggalkan yang sulit

SABAN hari, sekeliling kita pastinya dikelilingi bermacam ragam dan sifat manusia. Ada yang mengemudi kehidupannya dengan menjalani hidup sebagai Muslim sejati, ada pula yang biasa-biasa, bahkan ada juga yang berpura-pura tidak tahu (jahil) akan perintah yang ditetapkan ALLAH SWT dan ada yang tidak patuh langsung sehingga hidupnya seperti orang bukan Islam. Pura-pura jahil? Ramai yang tahu pengertian jahil tetapi tidak memahaminya. Minggu ini Rehal mengupas mengenai sikap segelintir umat Islam hari ini yang berpura-pura jahil tetapi sebenarnya tahu wajibnya sesuatu perkara itu. Beza jahil, munafik Pendakwah, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil menjelaskan, jahil atau jahala daripada sudut istilah adalah orang yang tidak tahu mengenai agama. Secara umumnya, jahil adalah orang yang tidak tahu. Contohnya Abu Jahal adalah orang yang jahil. Dia tidak tahu perihal agama. Walaupun sampai dakwah Islam kepadanya tetapi dia tetap menolak. Sungguh pun dia tahu hakikat kebenaran tersebut, tetapi tidak mempunyai usaha untuk memahami agama Islam. Bahkan menolak serta memerangi ajaran Islam daripada terus disebarkan. "Abu Jahal adalah bapa kepada semua orang jahil. Kekadang dia mahu menerima kebenaran tetapi dia menafikan kebenaran itu kerana memikirkan Islam itu tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada dirinya dan tidak membawa makna pun dalam hidupnya. "Orang jahil tidak semestinya tidak beriman dan tidak boleh dikategorikan sebagai orang munafik. Kita kena faham istilah munafik dengan jelas. Munafik itu adalah orang menzahirkan keimanan tetapi dalam masa yang sama menyembunyikan kekufuran. Kita kena melihat kepada situasi kejahilan seseorang itu dalam bab apa. Macam Abu Jahal memang kita tahu yang dia jahil dan tidak beriman," katanya. Menurut Ustaz Amiro, munafik dan jahil tidak boleh disamakan dan ia berbeza. Golongan munafik tahu akan kebenaran Islam, tahu Nabi Muhammad SAW itu pesuruh ALLAH, sahabat dan orang yang beriman itu dikasihi ALLAH tetapi jauh dari sudut hatinya dia menafikan. Maksudnya jelas menunjukkan kepura-puraan. Tiga tanda munafik, iaitu pertama apabila berjanji dia mungkir (perlu dilihat kepada situasi); jika diberikan amanah, dia khianati amanah tersebut dan ketiga, apabila bercakap dia dusta. Ternyata, jahil dan munafik itu berbeza. INDIVIDU yang berpura-pura jahil diklasifikasikan sebagai orang yang tahu tetapi buat-buat tidak tahu dan menidakkan apa yang dia tahu. Antara contoh yang paling dekat dengan kita apabila seseorang itu tahu wajibnya menutup aurat secara sempurna dan membuka aurat itu haram tetapi dalam masa yang sama dia berasakan jika dia tidak menutup aurat tidak ada apa-apa impak pun. Padanya dia tidak memaksa orang untuk berbuat sepertinya. Selagi mana dia tidak menyuruh orang menjadi sepertinya. Pendek kata, apa yang mudah untuk dilakukan dia buat, yang susah dan sedikit sulit sehingga rimas ditinggalkan. Satu lagi contoh, orang kaya yang berfikir banyak kali untuk mengeluarkan zakat. Dia tahu zakat itu wajib tetapi memikirkan dia telah membayar sebelum ini padanya sudah cukup. Banyak lagi perkara lain yang segelintir umat Islam berasakan ia boleh dipermainkan. KISAH ABU JAHAL Ustaz Amiro berkata, kisah Abu Jahal boleh dijadikan teladan untuk lebih memahami mengenai perbincangan ini. Pada zaman Baginda SAW, antara kekuatan yang ada pada Abu Jahal adalah dia dikenali ramai, mempunyai pengaruh yang kuat dan kaya-raya. Abu Jahal sering kali mempegaruhi masyarakat Quraish dengan mengatakan mencerca dan hina Nabi SAW. Apabila Nabi SAW berdakwah mengajak umat manusia menyembah ALLAH dengan meninggalkan penyembahan patung berhala dan kemungkaran. "Abu Jahal pula sibuk mengatakan apa yang didakwah Baginda SAW tidak betul dan salah sama sekali. Abu Jahal mengatakan mana mungkin anak yatim piatu dan buta haruf mampu mengajak manusia kepada kebaikan, hanya harta dan kemewahan memberikan kebahagian atas muka bumi ini. "Individu sebeginilah merosakkan kerja dakwah Rasulullah SAW. Sikap jahil dan keengganan untuk menerima dakwah. Sesungguhnya mereka mahu kekal berada dalam zon yang selesa di dunia," kata anak kelahiran Kelantan ini lagi. Menurutnya, individu yang bersikap pura-pura jahil perlu berubah untuk mendapat keberkatan dalam hidup. Benar! ALLAH memudahkan urusan dan memberikan keringanan dalam apa jua perkara yang dilakukan tetapi perlu melihat bagaimana cara-Nya memberikan kemudahan itu. Berdoalah semoga ALLAH tidak memberikan kita istidraj. Ramai beranggapan Abu Jahal adalah bapa saudara Nabi SAW, sebaliknya kenyataan itu adalah tidak benar sama sekali. Abu Jahal adalah individu akrab dan paling dipercayai Abu Lahab. Abu Lahab adalah bapa saudara Baginda SAW. Hayati firman ALLAH yang bermaksud: "Sungguh, engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi ALLAH memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk." (Surah Al-Qashash: 56) Adilnya ALLAH Sungguh beruntung kita yang lahir dalam Islam. Islam adalah petunjuk (hidayah) dalam mengemudi kehidupan. Namun, ramai yang tidak memahami pengertian hidayah sehingga apabila ditanya kenapa tidak melakukan apa yang ALLAH suruh? Senang jawapannya "kerana tidak mendapat petunjuk". "Adakah itu jawapan yang sesuai? ALLAH memberikan hidayah kepada setiap umatnya. Ia perlu dicari dan bukannya ditunggu. "Malangnya ada individu yang berasa bangga dengan mengungkapkan kata-kata sedemikian. Mungkin dia kurang faham mengenai pengertian hidayah. "ALLAH memberikan hidayah dan dalam masa yang sama turut memberikan taufik (pembimbing) kepada hamba-Nya. Lihat situasi ini, seseorang itu tidak memakai tudung, lalu ALLAH menghadirkan sahabat kepadanya. Sahabat itu adalah taufik untuk membimbingnya ke arah kebaikan. Jika dia masih bersikap tidak mahu menerima nasihat, maka kehidupannya tidak akan menuju jalan yang diredai ALLAH," kata Ustaz Amiro. Menurutnya, begitu juga dengan bab rukun Islam yang kedua iaitu mendirikan solat. Keberkatan hidup bergantung kepada solat. Solat perlulah ditunaikan pada awal waktu dan bukannya 'dijamak suri' (menggabungkan waktu Zuhur dan Asar). Jika mempunyai sebarang keuzuran atau urusan yang tidak mampu dielakkan dibolehkan. Benar! dalam 'jamak suri' dilihat kita menunaikan solat Asar pada awal waktu dan bersolat Zuhur pada akhir waktu, adakah itu cantik? Wahai umat Islam sekalian, tepuklah dada tanyalah iman . Kita menjadikan bersolat pada akhir waktu itu sudah menjadi satu kelaziman sedangkan ia memberi impak negatif dalam diri dan jemaah lain. LUNASKAN HUTANG Ustaz Amiro menambah, kesan apabila kita bersolat pada akhir waktu adalah kita sendiri yang menjarakkan hubungan dengan jemaah yang lain. Bahkan impak yang paling buruk adalah pandangan orang bukan Islam terhadap indahnya Islam mula terhakis sedikit demi sedikit. "Sebolehnya peliharalah solat kerana solatlah perkara utama yang dihisab pada hari pengadilan kelak. "Sifirnya mudah saja, anggap solat itu sebagai hutang dan selagi hutang tersebut tidak ditunaikan secepat mungkin, hidup tidak akan berasa tenang. "Jika kita boleh menyelesaikan hutang sesama manusia mana mungkin kita tidak mampu melunaskan hutang kepada ALLAH, sedangkan hutang itu tidak menuntut apa-apa bayaran pun," katanya yang bertugas di Kumpulan Media Karangkraf. Menurutnya lagi, usahlah berpura-pura jahil dengan hanya melakukan sesuatu yang senang dan mudah sahaja. Pastinya individu yang berbuat demikian tahu peri pentingnya ibadat yang disuruh-Nya. ALLAH itu Maha Adil kerana Dia memberikan ruang dan peluang kepada kita untuk berubah. Jangan pula, apabila nyawa sudah di hujung tanduk baru nak tengadah berbuat amal.

No comments:

Poultry Farmers Seek Support from Malaysians

 Poultry farmers seek support from Malaysians  https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/06/18/poultry-farmers-seek-support-from-malaysian...